Thursday, September 22, 2011

NAMA PENA KASAJIZA A.S

Kasajiza A.S. itulah nama pena saya. Nama pena yang saya cipta apabila saya ingin menulis sajak seawal tahun 1970 dahulu.

Nama pena ini saya cipta kerana pada waktu itu ada penulis yang nama mereka sama nama dan hampir sama dengan nama saya ia itu Zainal Abas. Terdahulu dari saya ada seorang penulis dari Singapura yang menggunakan nama Zainal S. Abas sebagai penulis lirik lagu yang berjudul SUMBANGSEH dendangan penyanyi M.Bakri. Seorang lagi penulis bernama Zainal Ariffin Abas ia itu seorang penulis buku sejarah.

Untuk tidak mengelirukan pembaca, kerana berhasrat untuk menjadi penulis (saya memilih menulis sajak waktu itu kerana minat saya terhadap puisi begitu mendalam!) saya pun mencipta nama KASAJIZA A.S. untuk nama pena saya!

Ramai rakan rakan bertanya apa maksud KASAJIZA A.S. itu, Sewaktu remaja saya agak malu menjawabnya dan menjadikannya sebagai satu rahsia. tetapi satelah saya berumah tangga, dan ramai rakan rakan yang mengenali saya dan isteri mereka mula bertanya apakah nama KASAJIZA A.S. itu gabungan nama saya dan isteri, akhirnya saya terpaksa juga memberikan jawaban. memang itulah sebenarnya!

Nama saya Zainal bin Abas. Nama isteri saya ialah Khadijah Anum binti Sihat. Kami berkenalan sewaktu saya berusia 17 tahun dan dia berusia 16 tahun. Kami sama sama bersekolah di Loh Institute (sebuah sekolah swasta) di Jalan Batu , Kuala Lumpur. Sekolah tersebut terletak di satu lorong ke Pawagam P.Ramlee pada tahun 60an itu. Saya waktu itu di dalam Tingkatan 3, Anum di dalam Tingkatan 2. Dua nama itulah saya gabungkan untuk nama pena KASAJIZA A.S.

Cinta kami mula berputik sewaktu bersekolah itu. dan rasa cinta itu saya rakamkan dalam sajak sajak saya yang berjudul Khadijah Anum, Anum 1, Anum 2 dan Anum 3 yang tersiar dalam majallah Sarina pada tahun 1970-an apabila saya dan Anum di ijab kabulkan pada 5 Ogos 1975. (untuk membaca sajak sajak tersebut sila rujuk Nota saya dalam FACEBOOK saya melalui akaun ZAINAL ABAS.)

Tetapi yang menariknya , apabila saya merasakan tentu tak ada orang lain yang mau menggunakan nama tersebut sebagai nama pena, saya dapati paling tidak ada dua insan yang turut menggunakan nama tersebut. Pertama seorang penulis cerpen pada tahun 1973 (atau mungkin pada tahun 1974) menggunakannya sebagai penulis cerpen untuk majallah URTV pada tahun itu. Judul Cerpennya MAIN JARI. Cerpen tersebut penuh erotic yang membuatkan saya sendiri malu untuk membacanya. Cuma bedanya penulis tersebut menukar sedikit nama itu kepada KASJIZA AS. Waktu itu saya duduk di Kuantan Pahang dan bekerja dengan Jabatan Talikom di sana, sebelum saya menyertai RTM.

Pada waktu itu, apabila mengetahui dan membaca cerpen tersebut, saya sendiri terasa malu untuk berjumpa dengan kawan kawan penulis. Ini kerana sewaktu cerpen tersebut tersiar saya tidak membacanya. Sewaktu Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) cawangan Kuantan ingin mengadakan mesyuarat agungnya penulis Sahmad Malaya (Allahyarham) menemui saya dan bertanya : Sejak bila tukar profesion? Sewaktu itu saya termanggu dan bertanya profesion apa? Allahyarham katakan : Dari seorang penyair kepada penulis cerpen erotic. Saya terus kebingungan kerana tidak tau. Lalu Allahyarham mengeluarkan majallah URTV pada waktu itu dan menyerahkan kepada saya dan menunjukkan cerpen yang hanya wajar di baca oleh orang dewasa saja itu.

Satelah membacanya saya terus menafikan cerpen tersebut saya yang tulis. Secara kebetulan pula wartawan Utusan Melayu cawangan Kuantan En Harun Hassan (kemudian jadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Trengganu dan jadi Setiausaha Akhbar MB Trengganu) yang sama sama menjadi AJK DPMP cawangan Kuantan menghulurkan bantuannya untuk menghubungi Pengarang URTV di Jalan Chan Sow Lin waktu itu. Bersusah payah Harun Hassan membawa kami ke pejabatnya di Jalan Besar Kuantan itu. Terus saja menggunakan talipon di pejabatnya untuk menghubungi Pengarang URTV.

Tidak sukar untuk kami berbincang dengan Pengarang URTV itu. Pengarang tersebut mengakui memang cerpen itu bukan karya saya. Tetapi di tulis oleh seorang penulis baru yang menggunakan nama tersebut yang berbeza hanya dia menggunakan nama pena KASJIZA AS dan saya KASAJIZA A.S. Nama batang tubuh penulis tersebut pula tidak sama dengan nama saya yang sebenar. Untungnya saya yang terlebih dahulu menggunakan nama itu. Ini terbukti apabila karya saya memang sering mendapat tempat dalam penerbitan Utusan Melayu , lalu menurut Pengarang URTV itu pada waktu itu, dia akan menasihatkan penulis baru itu menggunakan nama pena lain untuk karya beliau seterusnya.

Pada keluaran berikutnya URTV telah memohon maaf dari saya kerana insident tersebut dalam ruangan cerpen yang di tulis. Pengarang URTV menggunakan pond besar dalam penyataan mohon maafnya itu kepada saya itu! Sejak itu tidak ada lagi hasil karya khususnya cerpen hasil karya penulis yang menulis atas nama Kasjiza a.s. itu!

Kisah itu terjadi kira kira 37 tahun yang lalu. Kini saya sudah jarang menghantar karya kepenerbitan arus perdana. sebagai mengisi usia senja ini saya bergerak dalam kegiatan NGO's saperti menyertai badan badan sukarela dan Persatuan penulis. Sebagai mengisi masa lapang saya turut mengisi waktu dengan melayari laman sosial Facebook dan menulis dalam blog. Untuk Facebook saya menggunakan nama sebenar. Manakala untuk blog saya menggunakan kedua dua nama ia itu nama sebenar dan nama pena. Untuk blog saya menggunakan akaun blogspot.

Yang menariknya pula, sewaktu melayari FB dan ingin memasuki blog sendiri, sewaktu menaip perkataan KASAJIZA , telah muncul di wall saya nama pengguna yang membuka Akaun FB menggunakan nama pena saya KASAJIZA AS. Ini membuatkan saya ingin tau, siapakah gerangannya yang menggunakan nama pena saya itu , sedangkan saya sendiri tidak pernah membuka akaun FB sedemikian.

Ini membuatkan saya ingin tau dan pergi ke wall mamat tersebut. Apa yang saya dapati akaun tersebut di buka sebelum 21 Mei 2011 (sebab post pertamanya pada tarikh tersebut) . Mamat tersebut mengaku dirinya berbangsa MELAYU. Tetapi yang nyata, kawan kawannya seramai 12 orang kebanyakannya berwajah saperti orang Hindustan. Nama pun ala Hindustan dan seorang seakan orang Mongolia. Jantina Lelaki dan gemar berkawan dengan Perempuan. Simamat ini tidak banyak yang boleh saya ketahui. Tiada maklumat tarikh lahir, tempat asal dan kegemarannya. Malah gambar diri nya pun tidak ada. Gambar profilenya gambar yang menunjukkan sepasang remaja di taman. Dan inti sembangnya banyak pada unsur unsur percakapan lepas laku tidak bertapis remaja dunia. Saya mengesyaki pengguna ini bukan orang Malaysia, kerana 12 kawannya iti tak seorang pun bernama Melayu walau pun dia mengaku berbangsa Melayu!

Saya telah pun membuat Report/Blok kepada Pengurusan FB menggenai pengguna ini pada malam tadi. Saya tidak tau sepantas mana mereka bertindak. Saya telah membuktikan bahawa nama pena KASAJIZA A.S. itu telah saya gunakan sejak awal dan ianya terdapat dalam beberapa lagu yang tersiar di You Tube yang ada menyimpan lagu yang liriknya hasil tulisan saya.. Ini kerana saya merasakan si mamat ini berselindung di sebalik nama pena saya . Dan Kasajiza a.s. itu adalah 'harta intelek' saya di bawah undang undang Hakcipta.

Begitulah yang berlaku kepada saya. Saya lari dari menggunakan nama sebenar dalam ciptaan LIRIK LAGU dan PUISI kepada nama pena , masih ada juga manusia lain yang inginkan 'satu nama' dengan nama saya ! Saya tidak mau menggunakan nama yang hampir sama dengan penulis lain, kerana tak mau orang tersalah anggap kepada kami yang mempunyai nama dua serupa. Sedangkan dalam mengelak menggunakan dua nama serupa itu, satu peristiwa yang agak lucu (kalau boleh di katakan lucu) telah pun terjadi kepada saya, kisahnya begini:

Suatu hari pada akhir tahun 1990-an dahulu, seorang juruhebah di Klasik Nasional (waktu itu di kenali sebagai Ritma) telah membuat hebahan tentang lagu SUMBANGSIH dendangan M.BAKRI . Juruhebah tersebut antara lain membuat hebahan: Itulah lagu populer tahun 70-an yang di cipta oleh Allahyarham Zainal S. Abas... yang kebetulan sahabat karif saya Datin Wan Rohani Zin bekas penyiar yang seangkatan dengan saya mendengarnya sewaktu memandu kenderaan. Datin apabila sampai ke pejabat terus mengarahkan kakitangannya untuk mengadakan majlis tahlil untuk saya dan dengarnya berungut kerana tak ada siapa pun yang memberitaunya tentang 'kematian' saya. Dan entah mengapa, hari itu tergerak hati saya untuk menalipon pejabat sahabat saya itu untuk bertanyakan khabar satelah lama kami tidak bertanya berita. Jadi riuhlah satu pejabat ASA FILM waktu itu, kerana saya tak jadi mati. Dan rakan saya terduduk di pejabatnya dalam termanggu hampir satu jam salepas mendengar suara saya pada waktu itu!

Dan , itu jugalah yang saya takut berlaku kepada akaun FB yang menggunakan nama pena saya itu. Saya takut orang salah anggap , apabila si mamat itu nanti, kalau dia berbincang dan berbicara sesuatu topik (apa lagi yang hangat) pembaca akan mengatakan , itulah saya!