Wednesday, October 5, 2011

MENIMBA ILHAM DARI ANUM (oleh ZABIDIN ISMAIL)


PETIKAN RENCANA TULISAN ZABIDIN ISMAIL BERJUDUL

MENIMBA ILHAM DARI ANUM YANG TERSIAR DALAM AKHBAR BERITA MINGGU KELUARAN 29 MEI 1994

Dunia penulisan Melayu modern kini berusia hampir 60 tahun. Dalam temnpoh itu banyak penulis datang dan pergi. Malah sesetengah yang pergi kemudian semacam membenci dunia pemuisian sehingga namanya tidak lagi menghiasi dada akhbar dan majallah.

Begitulah barangkalinya terhadap penyair yang sedikit masa lampau di anggap berbakat dan berpotensi besar. Dia ialah Kasajiza A.S.

Dekat 70-an menyaksikan nama Kasajiza A.S. begitu di kenali kerana dia ‘memiliki’ dua media – letronik dan cetak. Media lektronik khususnya radio tempat dia bertugas dan sering memperdengarkan suaranya menerusi rancangan ‘Suara Hati’ yang kemudian di ganti dengan ‘Gema Irama’.

Suara Kasajiza A.S berkumandang membaca rintihan kalbu serta curahan hati pendengar dan peminat rancangan itu ia itu S.I.Wanha dari Kampung Sungai Wang , Jitra Kedah (kini dia tidak menulis lagi) yang selalu menceritakan perit getir bersama ibunya dalam sebuah pondok usang.

Kasajiza A.S sebagai pengelola rancangan berkenaan kadang kala terpaksa membacakan karya sendiri kerana sumbangan dari peminat tidak sampai ke meja penerbit. Menerusi ruangan inilah dia menyerlahkan bakatnya sebagai penyair merangkap penyiar bersuara romantik di adun pula dengan bait puisinya yang melankolik. Sedap di dengar dan mempunyai peminat tersendiri.

Begitulah Kasajiza A.S anak kelahiran Hutan Melintang Perak. Nama sebenarnya Zainal Abas , di lahirkan pada 14 April 1950 dan adik kepada ‘Adly Azamin (Aziz Abas) novelis Rumah Kuning , bekas guru yang menjadi penyiar yang kini berjawatan Pengarah TV di RTM.

Kasajiza A.S pernah berkhidmat dengan RTM selama 10 tahun sebelum memasuki dunia perniagaan pada awal tahun 80-an sehinggalah sekarang. Memulakan kerjaya penulisannya pada awal tahun 70-an . Kasajiza A.S pernah memenangi Hadiah Karya Sastera 1971 menerusi puisinya Pepatung.

Pada tahun 1972 lahirlah antoloji perseorangannya berjudul HIDUP TAK SELALUNYA INDAH, HATI TAK SELALUNYA GELISAH. Manakala kumpulan bersamanya pula ialah NAFAS KEMANUSIAAN dan HADIAH KARYA SASTERA 1971-1973 terbitan DBP.

Tidak saperti penulis lain Kasajiza A.S hanya menjuruskan pena menggarap puisi dan sesekali menulis lirik lagu. Antara yang mendapat tempat di hati pendengar ialah ‘SELASIHKU SAYANG’ 1976.

Kasajiza A.S sebenarnya mempunyai bakat melahirkan puisi romantik dan melankolik yang menelurkan kekuatan tersendiri menerusi ungkapan dan bahasa sederhana. Dalam meneliti sejumlah puisi masa lampaunya, di temui beberapa kuntum yang khusus membicarakan seorang wanita bernama Khadijah Anum.

Nanum sebelum dia begitu intim dengan Anum, Kasajiza A.S mencatatkan pertemuan awal dengan gadis ini menerusi puisinya DI EL JI yang tersiar dalam Utusan Zaman sekitar tahun 1973. Dia menulis begini:

Lalu duduklah ia
di sebalik pohonan kayu

sewaktu panas sedang terik

menikami rambut hitamku.

Inilah bait puisinya dalam memulakan episod perkenalannya dengan Anum. Daripada pertemuan di El Ji itu, secara rambang Kasajiza A.S sudah boleh mengenali hati budi gadis itu, lihat baris seterusnya:

Ia senyum dan mengamati

angin petang yang nakal

aku tersenyum dan menyenangi

rambut panjangnya yang ikal

lalu aku ke sisinya

dan mula pada menyisir

rahsia rambutnya yang bakal ku kenal.

Detik pertemuan yang serba manis ini nampaknya menawarkan persahabatan berpanjangan. Dia menikmati erti sebuah persahabatan itu dengan penuh penghayatan lalu menyingkap kembali zaman persekolahannya bersama Anum. Berikut hayatilah puisi ANUM:MEMORI 1 (Majallah Sarina November 1976 hlm 123) yang penuh nostalgia:

Sewaktu melalui Jalan Batu

teringat pada sekolah kita yang dulu

pada kantin dan pokok ceri

di mana kita bertukar buku


dan aku yang nakal

sering menyentuh hujung kukumu

dan engkau yang manis

akan memijak hujung sepatuku

atau sewaktu loceng berbunyi

engkau menjeling kearahku

dan macam selalu

aku pun tau.

Selalunya ucapan cinta peribadi jarang di siarkan dalam media cetak dan hanya di simpan sebagai koleksi sendiri. Tetapi istimewanya puisi Kasajiza A.S ia mendapat tempat yang wajar. ANUM: MEMORI 2(ibit hlm 105) adalah lanjutan thema puisi di atas. Bagi penyair ANUM adalah gadis penawar dukanya lantas dia menulis perwatakan ANUM:

Dengan senyuman yang paling menawan

membuangkan gundah di hatiku

dan engkau pun mengucapkan perlahan

lembut dan perlahan

ketelingatku:

lupakan luka pembalut jiwa

binakan keindahan darinya.

Kasajiza A.S menggunakan bahasa sederhana yang mudah di fahami. Namun ada semacam kecenderungan memberi khalayak sasar menikmati sepenuhnya thema yang tersurat. Lantas dia mengkesampingkan unsur perlambangan dan absurd. Penulisan puisi gaya bercakap ini berupaya menarik pencintanya untuk menghayati dan mengemari genre ini. Sebenarnya inilah sebaik cara mendekatkan puisi dengan masyarakat yang tidak memahami sastera.

Gaya demikian di perlihatkan Kasajiza A.S dalam puisi berikutnya berjudul ANUM: MEMORI 3 (Ibit Mac 1977 hlm 128)

Rembang petang dan senja Hutan Melintang

telah kau temui

daun sendayan dan Jalan Tanjung Bayan

telah kau lalui

di samping kau renungi sungai

tempat di mana aku bermandi

di samping kau renungi surau

tempat di mana aku mengaji

………

Tetap jua saperti dulu

cinta ibu kepadaku

kini tertumpah kepadamu.

Menerusi puisi ini nyatalah Anum sudah mengerti dan mengahwini kehidupan Kasajiza A.S. Sebagai anak kampung yang terdidik cara tradisional murni , tentunya juga Anum memikat hati ibunya dan Anum tidak lagi menjadi rahsia. Sebaliknya kehadhiran Anum menerbitkan rasa cinta yang akan di layari ke pelabuhan perkahwinan. Cinta sejati tentunya berakhir di jinjang pelamin. Begitulah episod serba manis Kasajiza A.S yang di lukis dalam puisi KHADIJAH ANUM (ibid – edisi JUNE 1976)

Saperti hasrat ibu yang tua

Anum! Kita pun melangkah

dengan amat perlahan

ke gerbang bahagia.

Tiada apa yang lebih manis selain dari menerima restu seorang ibu. Lebih lagi sewaktu mendirikan rumah tangga. Restu orang tua penting dalam mengejar kehidupan berkeluarga bahagia lagi berkat.

Meneliti semua puisi ini kita di bawa melayari sama setiap episod kehidupan penyair dari alam persekolahan ke alam dewasa seterusnya ke zaman berumah tangga.

Bertolak dari perkahwinannya dengan Anum , lantas dia mengungkapkan betapa seorang isteri solehah itu wajar berkongsi masalah dan penderitaan bersama suaminya. Lihat sajak Seorang Isteri (NAFAS KEMANUSIAAN 1980:84) Kasajiza A.S memuji Khadijah Anum , katanya:

Tempat di mana kita bermanja

menjadi raja sekaligus

seakan kanak kanak di ribaannya.

Tempat di mana kita berbicara

menjadi hakim sekaligus

di rasakan peguam bela kepadanya.

Tempat di mana kita merasakan

Inilah pangkalan paling awal

Untuk menyatakan:

“abang dalam kepayahan!”

Penyair memberi harapan tinggi terhadap isterinya. Betapa ia berdoa agar pernikahannya itu beroleh kesejahteraan dan berkekalan hingga ke anak cucu. Namun takdir menentukan segalanya. Sesungguhnya nasib tidak menyebelahi kita. Dan Kasajiza A.S juga terpaksa menelan hakikat itu.

Bagi setiap perkahwinan matlamat utama lazimnya adalah zuriat. Tetapi bagi penyair matlamat perkahwinan dengan Anum tidak tercapai. Dan dia meratapi di pusara anaknya. Rintihannya itu di simpulkan melalui puisi: Di sini aku kembali kepada rindu, untuk menatap wajah manismu (ibid – halaman 83)

Aku yang seharusnya kau panggil abah

Kekinian menziarahi persemadianmu

Membayangkan wajah yang belum di kenal

Di sini aku tertunduk dan menumpahkan

Titisan air mata dan dengan amat perlahan

Ku ucapkan juga nama manismu

Di sini aku kembali kepada rindu

Selamat bersemadi Anumizawati

Abah dan mama kekinian di kahwini sepi.

Biar melaut air mata menitis. Merintih kepada yang telah pergi namun dia tetap pergi menemui Tuhan Yang Maha Esa . Firman Allah S.W.T bermaksud: “bahawa mati yang kamu lari daripadanya pasti akan menemui kamu juga. Kemudian dia akan di kembalikan kepada Tuhan yang mengetahui perkara perkara ghaib dan nyata. Lalu dia akan khabarkan kepada mu pada apa yang telah kamu lakukan (perbuat).” – Al Jumuah. 8

Saperti manusia lain yang bersifat lemah dan dhaif, Kasajiza A.S juga tidak berupaya menyembunyikan kesedihan itu. Ratap tangisnya yang di ceritakan melalui puisi, menceritakan segala galanya yang di bungkus melodramatik.

Menyimpul tulisan ini tentunya ramai peminat Kasajiza A.S berasa arena pemuisian tanahair amat rugi kerana dia sudah pamit dari dunia puisi. Apakah selepas ini dia akan terpanggil untuk menggarapkan banyak lagi puisi romantis?